Friday, January 25, 2013

Hukum Pelaburan di ASB, ASN dan Seumpamanya


Bismillahirrahmanirrahim.

Di Selangor hukum pelaburan di ASB, ASN dan seumpamanya adalah seperti berikut:

“Setelah meneliti setiap pandangan ahli mesyuarat dan hujah-hujah yang dikemukakan, maka Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke 2/2011 yang bersidang pada 12hb. April 2011M bersamaan 8 Jumadal Ula 1432H telah bersetuju memutuskan bahawa Pelaburan Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Seumpamanya adalah tidak halal kerana masih belum menepati hukum syarak dengan alasan seperti berikut:-

1. Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) secara jelas terlibat dalam aktiviti pelaburan yang bercampur-campur antara patuh syariah dan tidak patuh syariah sebahagian besarnya adalah daripada sektor kewangan konvensional. Ini berdasarkan hadis riwayat Jabir Al-Ja’fi daripada Ibnu Mas’ud

Maksudnya : “ Tidak bercampur antara yang halal dan yang haram, melainkan mengalahkan yang haram atas yang halal . ” 

2. Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) diklasifikasikan sebagai dana unit amanah tidak patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti kerana terlibat dalam pelaburan tidak lulus syariah iaitu pelaburan dalam kaunter perbankan konvensional berteraskan faedah melalui Maybank dan pasaran wang.

3. Sumbangan kepada tidak patuh syariah adalah terbesar yang tidak bertepatan dengan kehendak syarak serta kadar yang berubah-ubah ini menyukarkan pelabur untuk membuat pembersihan terhadap hasil dividen.”

Pelaburan ASB, ASN dan seumpamanya di syarikat konvensional adalah seperti berikut:

a. Malayan Banking Berhad 28.49%
b. Fraser & Neave Holdings Berhad 0.95%
c. PNB Structured Investment Fund 0.87%
d. British American Tobacco (Malaysia Berhad) 0.78%

Sehingga kini, semua dana amanah di bawah PNB tidak diklasifikasikan mematuhi syariah. 





Jika menurut kayu ukur (benchmark) peratusan pelaburan haram dalam sesebuah syarikat yang dibuat oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti hendaklah pada kadar yang minima dan boleh dimaafkan. Walau bagaimanapun, jumlah pelaburan ASB, ASN dan seumpamanya itu telah melebihi daripada tanda aras yang dibenarkan dan sudah menjadikan pelaburan haram menguasai dana pelaburan ASB. Ini menyebabkannya menjadi haram.


Bagaimanapun satu aspek kritikal yang perlu juga diambil kira dalam mengesahkan pelaburan ASB ialah berkenaan aspek akad pelaburan yang digunakan. Adakah ia mudabarah atau musyarakah atau apa? dan jika mudarabah, perlu diingat bahawa jika akadnya tidak sah dari sudut syara’ maka seluruh pelaburan adalah batal tanpa mengira dalam industri halal atau haram ia dilaburkan.

Maka setelah dirujuk ke PNB dan buku prospektus ASB kita dapati bahawa termaktub bahawa modal (capital) pelaburan ASB adalah di jamin oleh PNB yang bermakna syarat dalam akad pelaburan ini telah bercanggah dengan syarat pelaburan Mudarabah dalam Islam.

Menurut mazhab Syafie, akad pelaburan tadi adalah batal. Malah modal pelaburan tidak boleh dijamin oleh pihak yang menguruskan pelaburan juga di fatwakan oleh Majma’ Fiqh Islami atau OIC Islamic Fiqh Academy dalam konvensyen ke-9 yang mana telah diputuskan bahawa jaminan modal hanya dibenarkan jika ia datang dari pihak ketiga. Dan dengan syarat ia tidak dimasukkan di dalam kontrak mudarabah.

Adakah perkara ini dipelihara oleh ASB? tidak sama sekali kerana mereka langsung tidak mempunyai Penasihat Syariah. Secara mudahnya, untuk mengenalpasti sesuatu institusi kewangan itu mematuhi syariah atau tidak, sila rujuk sama ada institusi itu mempunyai panel Penasihat Syariah ataupun tidak. Sepatutnya jika Malaysia ingin menjadi Global Islamic Banking and Finance Hub, sebagaimana diwarwarkan, PNB harus diislamisasikan terlebih dahulu. Gunakan konsep mudarabah dalam pelaburan mereka dan melabur di kaunter halal sahaja.

Ada banyak lagi kaunter halal untuk melabur walaupun kurang sikit dividen, biar halal dan berkat walaupun sedikit, daripada banyak tapi haram dan merosakkan kehidupan kita.


Persoalan



a. Bagaimana dengan kedudukan orang Islam yang telah menyertai dan membuat pelaburan ASB, ASN dan seumpamanya?

Kedudukan orang Islam yang telah menyertai dan membuat pelaburan ASB ini sekiranya mereka telah diberitahu bahawa pelaburan ASB tersebut adalah haram, maka mereka hendaklah meninggalkan ASB dan menyertai dana-dana amanah lain yang mematuhi syariah. Sekiranya mana-mana umat Islam yang tahu tetapi tidak meninggalkan ASB tersebut maka mereka telah melakukan dosa yang melibatkan diri mereka dengan riba.

Sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Surah Al-Baqarah: 275)


b. Adakah mereka perlu mengeluarkan semua duit yang ada dalam akaun ASB mereka?

Ya, mereka perlu mengeluarkan kesemua duit yang ada dalam ASB tersebut meliputi wang pokok, dividen, pelarasan dan bonus tahunan. Menurut Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi dalam kitabnya Fatawa Mu’asirah, beliau telah memutuskan bahawa wang-wang faedah yang diperolehi secara haram adalah haram secara yakin untuk ditinggalkan begitu sahaja di dalam akaun-akaun konvensional.

Sekiranya tidak dikeluarkan, ia seolah-olah seperti menolong bank-bank atau institusi kewangan konvensional tersebut menggunakan wang-wang faedah yang ditinggalkan itu untuk tujuan yang bertentangan dengan hukum syarak.


c. Adakah kesemua wang-wang yang disimpan dalam ASB itu menjadi haram?

Tidak, yang haram adalah faedah atau bonus yang terhasil daripada simpanan pokok tersebut. Wang pokok adalah tidak haram.


d. Bagaimana dengan kedudukan wang-wang ASB tersebut?

Kedudukan wang-wang tersebut adalah seperti berikut:

i. Wang pokok yang disimpan adalah tidak haram dan boleh digunakan untuk kegunaan peribadi dan keluarga serta boleh dipusakai.

ii. Wang faedah, pelarasan, bonus atau apa-apa sahaja tambahan yang terhasil melalui penyimpanan tersebut adalah haram dan dianggap sebagai riba, tidak boleh digunakan untuk tujuan peribadi, keluarga dan kepentingan sendiri serta tidak boleh dipusakai. Wang tersebut hendaklah disalurkan kepada Baitulmal bagi tujuan maslahah umum.


e. Adakah pekerja perbankan akan terus menawarkan pakej ASB ini sebagai produk di bank mereka?

Ya, dan kemungkinan masih ada oleh sebab fatwa di peringkat kebangsaan mengharuskannya. Pada masa yang sama pekerja perbankan tersebut tidak diperjelaskan secara lengkap berkenaan kedudukan ASB dan seumpamanya tersebut di negeri Selangor. Oleh yang demikian, mudah-mudahan penerangan ini mampu memperjelaskan anda dan sampaikan kepada mana-mana umat Islam.


f. Bagaimana dengan mereka yang telah membuat pinjaman ASB? Mereka sudah terikat dengan perjanjian dan bagaimana dengan kedudukan mereka?

Sesuatu yang sukar bila mana transaksi konvensional telah dilaksanakan antara anda dengan pihak bank yang menggunakan instrumen pinjaman ASB. Oleh itu, sekiranya anda boleh membatalkan perjanjian tersebut, maka hendaklah anda mengeluarkan wang tersebut daripada akaun ASB dan menyalurkan sebagaimana kaedah yang telah disebutkan di atas. Sekiranya perjanjian tersebut tidak boleh dibatalkan, maka anda hendaklah menghitung jumlah dividen atau faedah yang terhasil dalam pinjaman tersebut dan menyalurkan sebagaimana kaedah yang dinyatakan di atas juga iaitu diserahkan kepada Baitulmal bagi tujuan maslahah umum.


Wallahu a’lam.


INDERA SHAHRIL BIN MOHD SHAHID
Pengurus Harta Baitulmal
Majlis Agama Islam Selangor
Ting 9 & 10, Menara Utara
Bangunan Sultan Idris Shah,
40000 Shah Alam, Selangor
Tel: 603-5514 3570 (DL)
603-5514 3773 (GL)
Fax: 603-5512 4042

Selasa / 8 Januari 2013 / 08:27am



No comments:

Post a Comment