Monday, May 14, 2012

Sujud syukur & sujud tilawah.

Bismillahirrahmanirrahim.

Soalan:
Saya hendak melakukan sujud syukur tetapi saya masih ragu-ragu cara yang betul untuk melakukannya. Apakah beza sujud syukur dan sujud tilawah. Adakah sujud tilawah ini wajib dan bagaimanakah cara yang betul melakukan sujud tilawah dan sujud syukur.


Jawapan:

HADIS riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Amrin menyebut: “Nabi SAW membaca al-Quran, lalu Baginda membaca surah yang terkandung dalam ayat Sajdah. Maka Baginda sujud dan kami pun sujud bersama Baginda sehingga tidak ada sebahagian kami mendapat tempat untuk meletakkan dahi.”
Antara kelebihan melakukan sujud tilawah seperti hadis yang diriwayatkan Muslim dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah yang bermaksud: “Apabila anak Adam membaca ayat Sajdah, lalu ia sujud, maka syaitan akan melarikan diri serta menangis dan berkata, “celaka, ia diperintahkan untuk sujud lalu ia sujud dan baginya syurga. Dan aku pernah diperintahkan untuk sujud, aku enggan dan bagiku neraka.”

Sujud tilawah hukumnya sunat bagi orang yang membaca ayat Sajdah dan juga mendengarnya, sama ada ia qashad (niat) untuk sujud tilawah atau tidak.

Menurut Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam kitabnya Sabilal Muhtadin, ayat Sajdah dalam al-Quran ada 14 selain dari Sajdah dalam surah ‘Shad’ kerana ia termasuk sujud syukur seperti mana diterangkan dalam hadis riwayat an-Nasa’I daripada Ibn Abbas yang bererti: “Nabi Daud melaksanakan sujud kerana bertaubat dan kita melakukan sujud kerana bersyukur.”

Dimaksudkan bersyukur di sini kerana diterima taubatnya dan kerana itu orang yang mengerjakan sujud sajdah pada surah Shad hendaklah ia berniat sujud syukur kerana taubat Nabi Daud diterima Allah.

Ayat Sajdah yang dimaksudkan itu adalah:
  • akhir ayat 15 surah ar-Ra’du
  • akhir ayat 50 surah an-Nahl
  • akhir ayat 109 surah al-Isra’
  • akhir ayat 58 surah Maryam
  • akhir ayat 18 surah al-Haj
  • akhir ayat 77 surah al-Haj
  • akhir ayat 26 urah an-Naml
  • akhir ayat 15 surah as-Sajdah
  • akhir ayat 38 surah Fushilat
  • akhir ayat 62 surah an-Najm
  • akhir ayat 21 surah al-Insyiqaq
  • akhir ayat 19 surah al-Alaq. 

Sujud tilawah sunat dalam solat dan di luar solat. Sujud tilawah di luar solat ada empat rukun iaitu:
  • takbiratul ihram
  • niat sujud tilawah ketika takbir seperti dalam solat
  • sujud sekali
  • memberi salam sesudah sujud seperti salam dalam solat. 

Sunat membaca dalam sujud tilawah dalam solat dan di luar solat iaitu “
Sajada wajhiya lil lazi khalaqahu wa sawwarahu wa syaqqa sam’ ahu wa basharahu bi haulihi wa quwwatihi fatabarakallahu ahsanul khaliqiin.

Berbeza dengan sujud syukur, hendaklah dilakukan di luar solat dan tidak boleh dalam solat kerana jika dilakukan dengan sengaja dalam solat, maka batallah solat.

Cara pelaksanaan sujud syukur adalah sama dengan sujud tilawah di luar solat iaitu
  • berniat melakukan sujud, 
  • takbiratulihram, 
  • sujud sekali
  • dan salam. 
Sujud syukur sunat dilaksanakan ketika memperoleh nikmat yang diharapkan seperti memperoleh anak, pangkat, kemuliaan dan harta.

Sunat juga melakukan sujud syukur ketika terhindar daripada musibah yang tidak diduga, baik musibah yang menimpa dirinya, anak cucunya atau salah seorang dari umat Islam seperti selamat daripada karam, kebakaran atau rumah runtuh.

Sujud syukur tidak dilakukan lagi kerana dipisahkan oleh waktu yang cukup lama antara sujud dan sebabnya. Demikianlah secara ringkas berkaitan sujud tilawah dan sujud syukur.


Sumber: 
Persoalan Agama: Perbezaan sujud syukur dan tilawah
Jawapan disediakan oleh Ustaz Zahazan

Sunday, May 13, 2012

Asal usul kita

Bismillahirrahmanirrahim.


Dijadikan cerita Shafiq akan memulakan pengajiannya di sebuah universiti tempatan. Dengan berbekalkan azam dan tekad bagi menggapai cita-cita, beliau berjanji pada diri untuk belajar bersungguh-sungguh. Seprti kebiasaan semua universiti. Pelajar-pelajar junior yang baru masuk akan memulakan hari mereka di sesebuah universiti tak kisah la universiti tempatan mahupun swasta. Pasti akan dimulakan dengan minggu orientasi atau lebih dikenali sebagai minggu suai kenal. 


Hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Shafiq dengan girangnya memulakan hari pertama orientasinya. Setelah siap pendaftaran, Shafiq pun melangkah kaki untuk pergi ke bilik yang telah diberikan. Masuk ke dalam bilik, Shafiq terlihat suatu kelibat hantu manusia yang sedang mengemas barang-barang. 


Shafiq pun menyapa rakan biliknya itu sambil bersalaman, "Assalamualaikum. Saya Shafiq. Siapa nama awak? Dah lama sampai?"


Rakannya menjawab, "Waalaikumsalam. Saya Iman. Baru je jugak sampai ni."


Shafiq pun meneruskan perbualan sambil mengemas barang-barang miliknya pula. "Awak berasal dari mana? Saya orang dekat-dekat sini je."


"Asal saya? Saya berasal dari syurga.", jawab Iman sambil melemparkan senyuman manisnya.


Erk~ Shafiq terpana dan memalingkan mukanya kepada kawannya.


"Kenapa? Pelik ke jawapan saya? Awak tak percaya?", Iman bertanya.


Iman datang menghampiri Shafiq. "Benar. Saya berasal dari syurga. Awak pun berasal dari syurga juga. Bukankah kita ini keturunan Adam dan Hawa? Adam dan Hawa kan berasal dari syurga."


"Ya, benar. Jawapan Iman sebentar tadi benar-benar mengingatkan saya akan asal usul kita yang sebenarnya. Terima kasih Iman.", balas Shafiq.


"Sama-sama. Sebagai sesama Muslim kita perlu saling mengingati antara satu sama lain. Begitu juga dengan diri saya. Jika Shafiq nampak saya ada buat salah, saya amat berharap Shafiq menegur saya agar saya tak terus menerus melakukan kesilapan", kata Iman.


"Ok. tapi awak asal mana ya?", tanya Shafiq lagi kepada Iman.


Konklusi:: Jangan lupa asal-usul kita yang sebenarnya adalah dari syurga. Dari syurga kita datang harapnya ke syurga juga kita dikembalikan. Tak nak la asal kita syurga tapi akhirnya ke neraka yang kita tahu, azab seksaannya amat berat dan pedih. Bersama-samalah kita tingkatkan amal & perbaiki diri menuju ke syurgaNya.




@ cahaya.yang.satu @