Thursday, May 27, 2010

Salahkah Bila Berubah???

Izzat mengerutkan dahi memandang teman sebilliknya menumbuk tendang batang pohon, melepaskan amarahnya. Pagi tadi bukan main gembira Aliuddin melangkah keluar dari bilik. Tapi Aliuddin yang berada di hadapannya kini...

“Ali, bangun sembahyang Subuh. Dah lewat ni.”

“Diamlah kau. Aku nak sembahyang ke, tak nak ke, kau peduli apa? Kubur masing-masing.”

“Memang la kubur masing-masing. Kalau kubur kita sekali, bolehlah aku backup kau. Kau tak sembahyang, aku boleh tolong cover.”

Aliuddin menarik selimut lalu memekap mukanya dengan bantal. Izzat hanya menggeleng-gelengkan kepala. Suasana menyepi seketika. Hakim menepuk-nepuk bahu Izzat, mengisyaratkannya supaya ke tepi. Dia dekat ke tepi Aliuddin lalu menjerit, “Bangun Subuh!” Aliuddin yang tersentak bangun terduduk dengan matanya terbeliak bulat. Melihatkan wajah takut teman sebiliknya itu, Hakim ketawa mengekek.

“Nasib baik kaki aku sakit. Kalau tak, kau sarapan kaki aku pagi ni.”

Ketuk ketampi tiga ratus kali dan dirotan di kaki. Denda yang menyebabkan kakinya sakit yang amat. Denda atas perbuatan memancitkan tiga tayar kereta guru yang menyagat rambutnya. Ini bukanlah kali pertama dia didenda dan mungkin bukan yang terakhir. Dia cuba bangun dari katil tapi kakinya terasa perit untuk berdiri. Malah hendak duduk kembali pun dia tak mampu. Mukanya berkerut menahan kesakitan.

“Kau tak apa-apa ke?” Izzat bertanya.

“Aku nampak macam tak ada apa-apa ke?” Aliuddin bersuara garang.

Hakim cuba untuk membantu memapah tapi ditangkis keras oleh Aliuddin. Dia menguatkan diri untuk melangkah padahal dalam hati menjerit menahan sakit. Memang Aliuddin tidaklah sebaik nama yang diberi, namun cara pengurusan sekolah mengatasi pelajar bermasalah hanya menambahkan lagi dendam di dada. Pernahkah guru yang memberi denda itu merasai betapa sakitnya kaki setelah ketuk ketampi beratus kali? Di sebalik hukuman-hukuman pihak sekolah, kenapa agaknya pendekatan yang diambil lebih kepada menghukum pesalah sedangkan fungsi sekolah ialah memanusiakan manusia?

Esok cuti sekolah bermula. Sebaik sahaja loceng berbunyi, Aliuddin meluru ke asrama, mengejar tombol pintu biliknya. Cepat-cepat dia menukar baju lalu berlari ke tempat perhentian bas. Tidak sabar rasanya ingin pulang ke kampung. Di dalam perut bas, dia mencapai buku komiknya, sekadar membaca melepaskan kebosanan yang mula menghantui. Ada sesuatu yang jatuh dari celah-celah muka surat komik itu. Sepucuk surat.

I = Isyak
S = Subuh

L = Luhur (Zuhur)
A = Asar
M = Maghrib

Kalau kita tinggalkan salah satu daripadanya, kita sudah bukan Islam lagi. Dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Allah s.w.t. berkata keada Nabi Muhammad s.a.w., “Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.”

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. dibawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Izzat, sahabatmu.

Bas meluncur laju membelah malam. Dia melabuhkan pandangannya ke luar tingkap. Pokok-pokok ketapang di pesisir lebuh raya berbalam. Melambai-lambai gemalai ditiup angin. Sinar bulan malu-malu menjenguk alam. Debar jantung tiba-tiba menderas. Dia menatap semula surat itu. Dibacanya berulang-ulang kali. Bicara ayat-ayat mengelus jiwanya yang layu.

“Kau ni ada masalah apa? Kalaulah pokok tu ada tangan, terkulai layu kau dibuatnya.”

“Budak-budak tu la…” mulutnya memuncung ke satu arah.

“Budak-budak mana?” Izzat mencari-cari kelibat orang.

“Aku jalan-jalan tadi, terdetik dalam hati nak sembahyang kat masjid. Elok je aku nak langkah masuk pagar masjid, Si Shukri tu perli-perli aku. Dia kata dia nak tengok selama mana muka ahli neraka macam aku ni boleh jadi baik. Sampai aku habis solat pun dia tak henti-henti lagi mengumpat aku. Geram betul la!” Satu tumbukan padu dilepaskan. Daun-daun kering mula berguguran. Menari-nari lalu jatuh menapak lantai bumi.

“Muka aku ni ada cop neraka ke? Aku jadi jahat pun salah, jadi baik pun salah.”

“Meh sini aku check.” Izzat membelek-belek muka Aliuddin. “Ish…” Aliuddin menepis tangan Izzat, merenung tajam kawannya itu. “Dia saja main-main kot.”

“Kalau main-main, orang takkan sambung dengan mengumpat.”

“Biarlah… Bila dia mengumpat kau, kau dapat pahala. Kau sepatutnya gembira dapat pahala free.”

“Pahala free? Kenapa pula?”

“Bila kita mengumpat orang, orang yang diumpat dapat pahala, kita dapat dosa.”

“Owh… ye ke?” Izzat mengangguk. “Aku dapat pahala?” Aliuddin senyum tersipu-sipu sambil tangannya memeluk batang pokok. Izzat hanya menepuk dahi melihat telatahnya.

Berhimpit jerai di balik meranti,
Saying cemara akar terendam,
Kasih bersemi ikhlas di hati,
Menyejuk bara menghilir dendam.
~Sufaezah ~




p/s:: Bila seseorang hamba Allah itu punya rasa untuk berubah. Jangan kita halang. Malah kita sepatutnya menggalakkan dan mendekati mereka. Moga mendapat manfaatnya bersama. :)

No comments:

Post a Comment