Friday, February 10, 2012

Bertunang?? Bila??


Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah masih dapat bernafas di muka bumi Allah bersama kurniaan nikmatNya kepada kita semua. Erm.., ada terbaca satu artikel ni..rasa menarik. Jadi, sekadar nak berkongsi artrikel ni dalam blog ini. :))
 

"Arrangement 'family'...", itu jawapan mudah saya bila ditanya oleh sebilangan rakan-rakan dan pensyarah sewaktu kad walimah diedarkan. Bagi sahabat atau pendidik yang sefikrah, mereka sudah semestinya tahu 'sistem'nya, warna 'hijau' pada kad seolah-olah mengesahkan.

"Bila tunangnya?" tanya seorang rakan.

Antara soalan 'kegemaran' rakan-rakan dan pensyarah saya adalah mengenai tarikh pertunangan saya. Maklumlah, ribut tak melanda, angin tak bertiup, pokok pun tak pernah bergoyang 'memberitahu'. Tiba-tiba, kad sampai.


Menyimpan pengkhabaran mengenai pertunangan itulah cita-cita saya bagi membezakan dua perkara : Sifat orang kebanyakan dan sifat orang-orang ditarbiyyah. Biarlah ada antara mereka terkejut, (tak kurang juga ada peminat yang kecewa gembira, hehe...) , memelihara baitul muslim yang bakal terbina itu lebih utama bagi saya.

Sekadar pendefinisian awal bagi memudahkan kefahaman pembaca, yang dimaksudkan dengan sifat orang kebanyakandalam konteks ini adalah gembira dengan pertunangan dan perkahwinan yang bakal dilangsungkan, siapa tidak gembira dengan sebahagian 'nikmat syurga yang disegerakan' itu. 

Namun, bagi orang-orang yang ditarbiyyah, keseronokan yang menjadi fitrah itu seharusnya tidaklah perlu dipertontonkan (kerana sudah semestinya kita semua telah sedia maklum), sebaliknya, menginsafi kejadian diri dan sentiasa bermuhasabah, "Adakah diriku ini benar-benar telah menjadi individu muslim yang sejati?" atau "Apakah aku telah bersedia untuk menjadi seorang suami seorang muslimah?". 

Walau bagaimanapun, ber-'wasati' (mengambil pendekatan pertengahan antara keduanya - pinjam 'word' Ust Zaharuddin) itu adalah yang terbaik. Jika kita menunggu jawapan 'ya' dari diri sendiri (kerana meraikan permuhasaban diri ke arah baitul muslim), nescaya fitrah pernikahan langsung tidak diraikan kerana risaukan tanggungjawab itu, tetapi jika tidak menginsafi kerana terlalu seronok dengan 'nikmat' itu, maka rugilah kita yang tidak menyedari dimanakah keutamaan yang sebenar.


RAHSIA PERTUNANGAN

Rasulullah SAW bersabda :
“Rahsiakan pertunangan dan war-warkan (maklumkan) tentang perkahwinan” 
(Hadith riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair Radhiyallahu ‘anhu, dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghalil)

Kekadang diri kehairanan melihat umat akhir zaman meninggalkan pesanan Rasulullah s.a.w dalam bab merahsiakan pertunangan ini. Zaman sekarang pertunangan sahaja sudah dihebahkan seakan majlis perkahwinan. Meriah dan publisitinya usah dikata. Media dan akhbar menjadi penyiar berita yang menglebarkan lagi perkhabaran peristiwa tersebut. Belanjanya juga tidak kurang hebatnya, semua orang yang dikenalinya dijemput hadir menyaksikan dan menjamukan hidangan yang disediakan.

Ada juga yang menggunakan networking dalam internet seperti friendster dan facebook sebagai medium penyebaran hari bersejarah dalam hidup mereka ini. Diletakkan gambar pertunangan merata-riti buat tontonan umum tanpa perasaan gundah bahawa ikatan itu bukanlah suatu yang pasti terjadi.

Cincin disarung kejari menjadi lambang bahawa dirinya telah pun dipinangi orang. 


ISLAM ITU INDAH MEMELIHARA MARUAH

Islam amat menitik beratkan maruah peribadi seseorang . Dalam maqasid syariah, maruah, keturunan atau zuriat berada pada tangga keempat selepas Agama, Nyawa dan Akal. Selepas maruah, disusuri pula dengan harta.

Islam menyuruh kita merahsiakan pertunangan kerana pertunangan itu bukanlah suatu ikatan mutlak dan kekal sebagaimana perkahwinan. Ia merupakan perjanjian awal kepada suatu ikatan yang menghalalkan hubungan. Justeru, dalam pertunangan adab-adab sebagai orang asing tetaplah harus dijaga. Walau bagaimanapun, disana ada sedikit kelonggaran berhubung dalam beberapa hal seperti berurusan membincangkan majlis perkahwinan akan datang dan sebagainya.

Oleh kerana ikatan pertunangan itu bukan merupakan suatu yang pasti, justeru Islam memelihara maruah pasangan-pasangan ini agar ia tidak menjadi buah mulut orang tatkala ikatan yang cuba dibina itu terputus ditengah jalan. Lebih-lebih lagi maruah si anak dara, teramat perlu dijaga kerana ia bakal disunting oleh si kumbang yang lain pula. Bayangkan jika berita terputus pertunangan ini tersebar ke merata tempat. Bagaimana perasaan dan kecurigaan yang bakal timbul kepada si kumbang baru yang ingin melamar si bunga yang telah disebut ramai akan peristiwa luka yang kadangnya bukan merupakan kesilapannya.

Sungguh indah Islam ini, menjaga dan memelihara pelbagai aspek dalam kehidupan. Hatta suatu yang akan datang, telah diambil langkah berjaga-jaga diperingkat awal lagi. 

daripada:: muslim 24 jam

*Moga  mendapat manfaat*

No comments:

Post a Comment